Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

"TARBIAH SENTAP"

"TARBIAH SENTAP"
Menjual Buku Bedtime Story Sentap

Saturday, 14 March 2015

HISTORY OF POCARI SWEAT



STRATEGI DAN CARA MENJADI USAHAWAN BERJAYA

KREATIVITI DALAM PERNIAGAAN
 Kreatif dan kritis!! Dua elemen penting yang juga merupakan antara tuntutan utama dalam misi anda untuk memajukan perniagaan. Dalam erti kata lain, anda perlu berfikir dan berusaha dengan lebih keras bagi menjadikan perniagaan anda sesuatu yang lain daripada yang lain demi menarik minat lebih ramai pelanggan. Perniagaan yang mempunyai kreativiti tersendiri kebiasaannya akan lebih cepat dikenali oleh para pengguna tambahan pula sekiranya produk atau servis yang disediakan menepati kehendak pengguna. Akan tetapi, faktor kreativiti tersebut mestilah seiring dengan strategi perniagaan anda agar faktor itu benar-benar dapat memberikan impak kepada perniagaan yang diusahakan. Contoh yang mudah, pada hari ini kita boleh melihat betapa ramai para peniaga di pasar-pasar malam yang menjual air tebu. Mungkin di satu kawasan pasar malam yang sama terdapat dua atau tiga gerai yang menjual air tebu. Maka, persaingan menjadi lebih sengit. Oleh itu, penjual-penjual air tebu tersebut sewajarnya berfikir dengan lebih mendalam tentang cara yang boleh digunakan untuk menarik lebih ramai pelanggan ke gerai masing-masing. Bagaimanakah caranya? Terpulang kepada masing-masing untuk memikirkannya. Banyak aspek-aspek kreativiti yang boleh digunakan dalam perniagaan tanpa mengambil kira jenis perniagaan anda juga sama ada perniagaan anda kecil ataupun besar. Jika kena dengan caranya, kreativiti tersebut mampu menaikkan jenama perusahaan anda!!



Melihat Kelemahan dan Kekurangan Sebagai Satu Peluang Keemasan!!
Setiap perniagaan kebiasaannya mempunyai kelemahan atau kekurangan yang tersendiri. Kekurangan tersebut tidak seharusnya dipandang sebagai satu kelemahan oleh para peniaga. Jadi, bagaimana caranya untuk melihat kelompangan yang ada dalam sesebuah perniagaan sebagai suatu kelebihan? Mudah sahaja bak kata seorang tokoh perniagaan internet yang terkemuka iaitu Irfan Khairi menyatakan bahawa usahawan atau mana-mana para peniaga mestilah sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran. Tujuannya adalah untuk memastikan adanya percambahan idea dalam kalangan para peniaga mahupun usahawan-usahawan bagi menguruskan sesebuah perniagaan sekaligus dapat menjadikan perniagaan tersebut lebih menarik. Untuk itu, bagi para peniaga yang benar-benar berfikiran kreatif dan kritis, mereka akan cenderung untuk melihat segala kekurangan atau kelemahan dalam perniagaan sebagai satu peluang keemasan untuk mereka meningkatkan mutu serta kualiti perniagaan.
Contoh yang sangat mudah, pernahkah anda mendengar tentang Kentucky Fried Chicken atau lebih popular sebagai KFC? Agak pelik sekiranya anda mengatakan tidak!! KFC adalah antara restoran makanan segera yang mempunyai elemen-elemen kreativiti dalam kelas tersendiri. Menyedari bahawa hidangan utama mereka adalah ayam goreng, pihak KFC mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pelbagai menu dari semasa ke semasa dan setiap menu tersebut mempunyai daya tarikan yang kuat terhadap pembeli. Ini kerana, pihak KFC sendiri mungkin dapat merasakan bahawa masyarakat akan berasa bosan dengan menu yang sama tanpa sebarang perubahan. Bagi mengelakkan kelemahan tersebut berlaku, strategi berkesan telah diatur dengan baik oleh pihak KFC. KFC Tom Yum, ‘Famous Bowl’, ‘KFC Egg Tart’, ‘Toasted Pocketful’, ‘Krushers’, dan banyak lagi menu-menu baru yang telah diperkenalkan oleh KFC. Konsep perniagaannya tidak pernah berubah iaitu menyediakan makanan segera kepada masyarakat awam. Akan tetapi, faktor kreativiti pihak pengurusan KFC Malaysia sememangnya wajar dijadikan contoh oleh para peniaga dan usahawan yang lain dengan mereka sentiasa berfikiran kehadapan untuk menyediakan pelbagai resepi-resepi terkini bagi masyarakat berbilang kaum di negara kita.
Selain itu, sebagai seorang usahawan atau peniaga, keberanian untuk mengambil risiko sangat penting. Tetapi janganlah kita membuta tuli mengambil sesuatu risiko tanpa mengkaji faktor dan kesannya terlebih dahulu. Dalam isu melihat kekurangan sebagai satu peluang keemasan, keberanian memainkan peranan yang sangat besar. Kadang-kadang anda mungkin sudah berjaya menemui kekurangan yang ada dan sudah memikirkan cara untuk mengatasinya, tetapi dengan kemampuan yang ada adakah anda begitu berani untuk melaksanakannya? Pastikan langkah penyelesaian yang ingin anda ambil telah anda kaji dengan sedalam-dalamnya. Hidup dalam dunia perniagaan ibarat untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Ada kesan dan risiko yang menanti. Seandainya anda benar-benar yakin dan berusaha dengan segigih-gigihnya, InsyaALLAH anda akan berjaya.


Pelik Tetapi Menarik
Tidakkah anda teringin untuk mempunyai suatu perusahaan yang pelik tetapi menarik? Biar pelik asal menarik jangan pelik dan memang pelik!! Objektifnya tetap sama, untuk menarik seramai mungkin pelanggan atau pengguna terhadap servis yang anda sediakan. Tidak kiralah perniagaan apa sekalipun, semuanya boleh menjadi lebih menarik sekiranya anda ada cara untuk melakukannya. Untuk mendapatkan sesuatu idea yang pelik tetapi menarik, anda sebagai seorang usahawan perlu mencabar pemikiran anda bagi mengumpulkan idea-idea yang terbaik dan sesuai dengan perniagaan yang anda usahakan. Tidak dinafikan, kadang-kadang apabila kita mencuba sesuatu yang baru boleh jadi kita mendapat kritikan dan boleh jadi juga kita mendapat sokongan. Oleh itu, jika anda benar-benar yakin dengan apa yang anda ingin lakukan, ketepikan segala kritikan dan anggaplah kritikan-kritikan tersebut sebagai satu inspirasi untuk anda terus memajukan perniagaan anda.
Kebiasaannya, pada bulan Ramadhan, begitu ramai para peniaga yang mengambil peluang untuk berniaga di bazar-bazar Ramadhan. Pelbagai aneka juadah dijual dan para peniaga berlumba-lumba sesama sendiri untuk menghabiskan jualan produk makanan dan minuman masing-masing. Persaingan juga menjadi semakin sengit. Disinilah faktor pelik tetapi menarik boleh diguna pakai untuk memikat para pelanggan. Contohnya, gerai yang menjual minuman. Terdapat gerai yang menjual sehingga dua puluh lebih jenis minuman. Air tembikai laici, bandung cincau, epal susu, barli susu, koktail, katira, cendol dan bermacam-macam lagi jenis minuman yang dijual. Sudah tentu, gerai minuman tersebut akan menjadi tumpuan para pembeli kerana keunikannya selain terdapat banyak pilihan minuman. Inilah yang dikatakan pelik tetapi menarik!!
Dalam membincangkan isu pelik tetapi menarik, satu kekuatan yang perlu anda pupuk dalam diri anda adalah tahan kepada segala kritikan. Mungkin idea yang ingin anda laksanakan akan dianggap idea gila oleh sesetengah pihak, tetapi belum cuba belum tahu. Lakukan dan buktikan kepada semua bahawa idea anda itu boleh membuahkan hasil yang mengagumkan. Jangan sesekali jatuh kerana kritikan dan jangan sesekali megah kerana pujian. Dunia perniagaan tidak pernah menjanjikan sebarang kejayaan atau kegagalan berpanjangan, bergantung kepada sejauh mana usaha dan pengorbanan yang anda lakukan. Teruskan usaha anda dan beringatlah bahawa kesemua rezeki itu hanya datang daripada ALLAH SWT.


Sentiasa Berfikir Ke Hadapan
Dalam mana-mana ceramah motivasi atau seminar keusahawanan, sentiasa berfikiran ke hadapan merupakan antara aspek yang sering ditekankan oleh para penceramah. Bukan tidak boleh memandang ke belakang, tetapi jadikanlah segala pengalaman lampau sebagai satu pengajaran dan semangat untuk kita terus maju. Berbagai-bagai risiko yang ada dalam perniagaan. Untung dan rugi juga sudah menjadi mainan bagi para peniaga. Sebagai langkah berjaga-jaga, setiap para usahawan ataupun para peniaga kecil mahupun besar perlulah sentiasa berfikiran kehadapan. Anda perlu untuk memikirkan tentang kesan-kesan yang mungkin akan timbul, risiko yang bakal dihadapi, serta jalan penyelesaian sekiranya berlaku sebarang masalah yang dijangka atau tidak dijangka. Jangan terlalu gopoh untuk berangan-angan dalam perniagaan. Para peniaga atau usahawan yang sentiasa berfikir ke hadapan sememangnya mempunyai banyak idea dan perancangan yang hebat. Inilah antara contoh kreativiti dalam perniagaan. Dengan berbekalkan idea-idea yang hebat, mereka begitu kreatif menjalankan perniagaan sekaligus sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Bolehkah anda melakukannya?
Seperkara lagi, usahawan yang berfikiran ke hadapan tidak akan menghadkan fikiran mereka untuk mencari satu sahaja jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi. Fikirkanlah lebih daripada satu jalan penyelesaian agar anda mempunyai banyak pilihan idea untuk menamatkan segala permasalahan yang membelenggu perniagaan anda. Apabila anda sudah mempunyai beberapa pilihan penyelesaian, pilihlah jalan yang terbaik yang mampu untuk anda lakukan.
Sekiranya anda seorang peniaga kuih-muih di pasar malam dan anda sering mendapati kuih-muih anda tidak dapat dijual habis maka apa yang anda akan lakukan? Sama ada anda membuang lebihan kuih-muih tersebut atau mengurangkan kuantiti jualan untuk masa akan datang atau anda akan mengurangkan harganya atau sebarang cara yang lain? Hakikatnya terpulanglah kepada anda tetapi pastikan keputusan yang diambil boleh mendatangkan faedah serta keuntungan kepada perniagaan yang diusahakan.



Promosi & Pengiklanan Perniagaan Yang Menarik
Strategi utama untuk melariskan perniagaan adalah melalui promosi dan pengiklanan. Pada hari ini, kita dapat lihat betapa banyak papan-papan iklan, banting, poster, kertas-kertas iklan dan bermacam lagi cara yang digunakan oleh para peniaga untuk menghebahkan perniagaan masing-masing. Tidak dinafikan, promosi dan pengiklanan sememangnya salah satu cara berkesan untuk menarik para pelanggan. Akan tetapi, penghasilan iklan yang lebih kreatif serta menarik sudah tentu mampu memberikan impak yang lebih besar berbanding iklan-iklan biasa yang lain. Cumanya, apabila anda telah menghasilkan suatu iklan yang kreatif dan luar biasa, anda juga perlu memastikan kualiti produk atau perkhidmatan yang anda sediakan setara seperti mana yang telah anda iklankan. Jangan sesekali anda cuba untuk menipu dalam pengiklanan kerana boleh membawa kesan buruk serta menggugat keyakinan para pelanggan terhadap perniagaan anda.
Dalam era IT dan globalisasi ini, bermacam kaedah yang boleh digunakan bagi tujuan pengiklanan. ‘Facebook’, ‘Twitter’, ‘Email’, laman sesawang pengiklanan seperti ‘mudah.my’, ‘e-bay’ dan banyak lagi laman pengiklanan di internet yang boleh anda gunakan untuk mempromosikan bisnes yang anda jalankan bukan hanya di dalam negara malah di seantero dunia. Jika anda benar-benar kreatif dalam mengiklankan perniagaan anda, maka tidak mustahil perniagaan anda mampu berkembang maju dalam sekelip mata.

Zaman sekarang juga telah memperlihatkan begitu ramai individu yang gemar menjalankan bisnes hanya melalui internet sahaja. Misalnya, seseorang individu itu mampu untuk menjual pakaian hanya daripada rumah dan segala bentuk pengiklanan dan promosi dilakukan melalui internet. Penghantaran barangan pula dilakukan melalui pos atau kurier. Apa yang menariknya, keuntungan yang diraih mampu mencecah empat angka!! Ini tidak mustahil sekiranya anda bijak mengiklankan perniagaan anda.

Kesimpulannya, kreativiti dalam perniagaan memainkan peranan yang sangat penting terhadap perniagaan itu sendiri. Banyak lagi cara dan kaedah untuk menjadikan sesuatu perniagaan lebih kreatif dan menarik. Setiap aspek dalam perniagaan perlu diberi penekanan bermula daripada aspek promosi sehingga ke jualan agar perniagaan tersebut benar-benar membuahkan keuntungan. Pakar perniagaan internet, Irfan Khairi dalam tip perniagaannya ada menyatakan bahawa seseorang ahli perniagaan yang ingin menjana idea yang kreatif perlulah sentiasa bergembira dan berseronok kerana idea yang hebat seringkali datang apabila kita berada dalam keadaan gembira dan seronok. Semoga semua para usahawan dan para peniaga yang membaca artikel ini dapat mengambil input-input yang berguna dan mengaplikasikannya dalam perniagaan masing-masing. Ingatlah, rezeki itu datang daripada ALLAH SWT dan kita perlu berusaha untuk mendapatkannya.








STRATEGI DARIPADA PERNIAGAAN KECIL KEPADA JUTAWAN
Perniagaan merupakan satu peluang dan ruang yang benar-benar boleh memberikan pulangan lumayan khsusus bagi mereka yang serius dalam menjalankan bisnes yang diceburi. Tidak kiralah berniaga apapun, yang penting prospek perniagaan sememangnya salah satu cabang untuk seseorang itu bergelar jutawan. Fakta sendiri telah membuktikan bahawa majoriti jutawan adalah lahir daripada golongan para peniaga. Contohnya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari merupakan antara jutawan Melayu terkemuka di Malaysia yang juga merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan. Begitu juga dengan pelakon Ezany Nizariff yang memiliki kilang kicap dan belacan berkat usaha gigihnya dalam perniagaan lantas berjaya meraih pulangan yang lumayan. Menariknya, hanya dengan belacan sahaja sudah mampu untuk mengangkat seseorang itu menjadi jutawan!! Hatta peniaga kecil yang menjalankan perniagaan mengikut startegi yang betul juga sebenarnya mampu untuk bergelar jutawan pada masa akan datang. Beberapa strategi dan panduan telah digariskan untuk memandu para peniaga kecil terus giat berusaha bagi memastikan perniagaan berkembang maju dan mampu untuk bergelar jutawan yang Berjaya satu masa nanti.



Mesti Pandai MENCURI!!
Haa!! Untuk menjadi seorang yang berjaya dalam lapangan perniagaan, pihak tersebut mestilah pandai mencuri. Jangan terkejut!! Mencuri yang dimaksudkan ini bukanlah bererti perlu melakukan jenayah, tetapi mencuri yang dimaksudkan adalah bijak mengambil peluang yang ada dalam dunia perniagaan yang mana peluang-peluang tersebut dapat membantu untuk meningkatkan lagi kejayaan perniagaan tersebut. Peniaga yang bijak akan memerhatikan keperluan semasa masyarakat sekeliling. Contohnya, sekiranya di suatu kawasan penempatan tersebut tidak ada menyediakan perkhidmatan dobi, maka peniaga yang bijak akan menggunakan peluang tersebut dengan membuka sebuah kedai dobi dan mungkin boleh bermula secara kecil-kecilan. Inilah yang dikatakan pandai mencuri peluang dalam perniagaan. Melihat kelemahan sebagai satu peluang. Bijak mengambil dan menggunakan peluang yang ada sebenarnya satu langkah permulaan untuk seseorang individu menempa kejayaan yang lebih besar. Ini kerana, tidak semua orang akan melihat peluang itu sebagai satu peluang. Mungkin ada yang melihat peluang itu sebagai satu kekurangan dan kelemahan berbeza dengan mereka yang berfikiran kreatif dan inovatif.
Berpandukan kepada situasi semasa lapangan perniagaan di Malaysia, masih banyak lagi ruang yang ada untuk seseorang usahawan kecil melebarkan sayap perniagaannya. Terutama pihak kerajaan pada masa ini begitu membuka peluang kepada para usahawan kecil untuk memajukan lagi perniagaan dengan pihak kerajaan siap sedia menghulurkan bantuan perniagaan khususnya dalam bentuk pinjaman kewangan. Sayangnya, ramai juga dalam kalangan peniaga masa kini tidak mengetahui skim-skim bantuan kewangan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan yang dapat membantu menaikkan lagi perniagaan mereka.
Antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam membantu para usahawan dan peniaga kecil adalah seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Perbadanan Nasional Berhad (PNB), dan banyak lagi. Kesemua ini merupakan peluang yang disediakan pihak kerajaan semata-mata untuk menarik minat masyarakat supaya menceburkan diri dalam bidang perniagaan seterusnya mengembangkan lagi perniagaan iaitu bagi mereka yang telahpun memiliki perniagaan sendiri. Terpulanglah kepada kita sama ada untuk ‘mencuri’ peluang yang terhidang ini atau tidak.



Motivasi yang Tinggi
Kegagalan merupakan satu lumrah yang biasanya akan dihadapi oleh para peniaga. Tetapi tidak bermakna kegagalan tersebut akan membuatkan kita terus gagal dan tidak boleh mengecapi kejayaan selepas itu. Malah kegagalan dalam perniagaan sekiranya dipandang dari sudut yang positif dapat dijadikan sebagai satu motivasi pembakar semangat untuk meneruskan usaha membangunkan semula perniagaan yang telah mengalami kegagalan. Motivasi yang tinggi merupakan satu resepi bagi setiap jutawan. Anda tanyalah kepada mana-mana jutawan sekalipun, mereka pasti akan menjawab bahawa jika ingin berjaya, semangat dan daya usaha mestilah seiring dan jangan sekali-kali berputus asa. Peniaga kecil khususnya yang cepat tewas dengan ujian dan kegagalan yang melanda perniagaan mereka akan menyebabkan mereka terus gagal!! Berbeza dengan mereka yang mempunyai kecekalan dan mentaliti yang kuat, kegagalan yang menimpa diibaratkan sebagai satu cabaran untuk mereka terus berusaha dan berjaya.
Setiap peniaga harus mengetahui bahawa tiada jalan pintas untuk memperoleh kejayaan dan kekayaan. Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong pernah berpesan dengan mengatakan “..jangan fikir negatif dalam perniagaan, lakukan secara berperingkat walaupun perlahan-lahan asalkan ia tindakan tepat..” Peniaga harus tekun, sabar dan gigih dalam menjalankan perniagaan. Kesabaran merupakan satu aspek yang sangat penting. Berusahalah dengan sebaik-baiknya. Biarpun perniagaan yang dijalankan bermula dengan kecil-kecilan dan perlahan tetapi sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh, akan dapat membuahkan hasil yang mengagumkan. Rasulullah S.A.W juga telah menunjukkan satu contoh yang cukup baik dalam berniaga. Baginda begitu menekankan faktor kejujuran dan kesabaran dalam berniaga. Hasilnya, kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap Baginda S.A.W bertambah. Begitu juga dengan kita pada hari ini, sekiranya kita amalkan nilai-nilai murni dalam perniagaan pastinya perusahaan yang kita jalankan akan mendapat perhatian dan menarik lebih ramai pelanggan. Impaknya, perniagaan menjadi bertambah maju dan berjaya. Ingat!! Sikap anda dalam menguruskan perniagaan akan memberi kesan kepada perniagaan anda sendiri.



Lain Daripada Yang Lain
Ya, lain daripada yang lain. Kadang-kadang apabila kita membuat sesuatu perkara yang pelik, kita akan mendapat perhatian yang lebih berbanding kita membuat perkara-perkara yang biasa. Contoh, apabila kita memakai baju secara terbalik dan kemudian kita berjalan di pasar raya, pasti kita akan menjadi perhatian masyarakat sekeliling. Memanglah memalukan dan kelakar tetapi inilah yang dikatakan lain daripada yang lain. Konsep ini sangat berkesan apabila diaplikasikan dalam perniagaan. Kita menjual minuman ABC sama seperti peniaga yang lain, akan tetapi ABC yang kita jual mengandungi aiskrim. Maka tidak mustahil sekiranya ABC yang kita jual lebih mendapat perhatian pelanggan. Walaubagaimanapun, untuk menjadi lain daripada yang lain, seseorang itu mestilah berfikiran kreatif dan kritis. Ini kerana, kita mesti memikirkan suatu cara yang boleh memberi kelainan terhadap perniagaan kita sama ada kelainan terhadap produk yang kita jual atau kelainan dari segi cara kita memasarkan produk yang sedia ada. Aspek kelainan ini merupakan satu langkah yang dapat menarik lebih ramai pelanggan sekaligus membuatkan pernigaan menjadi lebih terkenal. Siapa sangka dari sekecil-kecil perniagaan boleh berkembang pesat sehingga melayakkan kita untuk bergelar jutawan melalui perusahaan yang dijalankan.
Contoh, kita boleh melihat usaha yang dijalankan oleh kumpulan adik beradik yang begitu terkenal dalam bidang nyanyian dan perfileman iaitu KRU. KRU adalah antara sutradara yang begitu gemar untuk menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain. Lihat sahaja filem-filem yang dihasilkan. Kebanyakkannya mempunyai kelainan yang tersendiri. Bermula dengan Cicakman iaitu merupakan filem tempatan terawal yang dihasilkan menggunakan sepenuhnya teknik Kesan Khas (CGI) sehingga berjaya meraih kutipan kasar sebanyak RM5.15 juta pada tahun 2006!! Terbukti, aspek lain daripada lain iaitu penggunaan teknik CGI oleh KRU untuk menghasilkan Cicakman membuahkan hasil yang begitu memukau. Oleh itu, setiap para peniaga kecil perlu menanamkan keazaman yang tinggi dan terus berfikiran kehadapan untuk menghasilkan sesuatu produk yang lebih menarik.




Persaingan Sihat
Dalam sesuatu perniagaan, kecil mahupun yang besar, persaingan sememangnya selalu wujud dan berlaku. Persaingan dilihat sebagai sesuatu yang bagus untuk perniagaan tetapi adakalanya persaingan boleh juga memberi kesan buruk kepada perniagaan. Persaingan yang tidak dapat ditangani dengan baik terutama oleh para peniaga kecil akan membuatkan mereka berasa sukar untuk meneruskan perusahaan yang dijalankan. Berapa ramai dalam kalangan peniaga kecil pada hari ini yang gagal berhadapan dengan persaingan dalam perniagaan? Ada dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini yang bersikap iri hati sekaligus berlaku khianat kepada peniaga lain hanya kerana mencemburui kejayaan yang dimiliki oleh peniaga tersebut. Sikap dengki seperti menghasut, menabur fitnah kepada peniaga lain adalah antara sikap yang boleh menjadikan persaingan tidak sihat. Pergaduhan juga boleh berlaku.
Oleh itu, bagi para peniaga kecil, persaingan sebegini adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan dan terpulang kepada anda bagaimana untuk menanganinya. Sekiranya anda memandang persaingan dengan para peniaga lain sebagai sesuatu yang sihat, maka sudah pasti anda juga akan turut berlumba-lumba dengan yang lain untuk meningkatkan kualiti produk yang dipasarkan.
Sekali lagi saya ingin memetik kata-kata Tan Sri Lim Goh Tong yang menyatakan “..elakkan diri daripada bersikap tikam belakang dan jangan mencari musuh. Jangan sesekali membuat helah kerana tidak ada jalan pintas untuk berjaya, kerja keras dan selalu berminat dengan apa yang dikerjakan..” Ini bermaksud dalam perniagaan, kita perlu berlumba dengan para peniaga yang lain melalui cara yang baik. Ingat, sebagai peniaga yang mempunyai wawasan, elakkan daripada mencari musuh sebaliknya carilah seramai mungkin sahabat dalam perniagaan kerana dalam perniagaan kita tidak akan selalu berada diatas, adakalanya kita mungkin akan mengalami kerugian. Seperkara lagi, persaingan sihat juga merangkumi kejujuran dalam perniagaan. Tidak perlu sama sekali untuk kita menipu semata-mata bagi mendapatkan keuntungan berganda kerana penipuan hanya akan mendatangkan masalah dan kerugian kelak. Islam juga melarang sama sekali menipu dalam berniaga seperti menipu dalam sukatan dan timbangan, menjual barang-barang yang rosak, menyorokkan barang-barang keperluan harian semasa bekalan barangan tersebut kekurangan dan menjualnya dengan harga yang tinggi serta bermacam lagi. Apa yang penting, rezeki yang diperoleh melalui cara yang tidak baik adalah rezeki yang tidak mendapat keberkatan dari sisi Islam.

Banyak lagi sebenarnya cara-cara dan teknik yang boleh dilakukan oleh peniaga-peniaga kecil untuk memastikan perniagaan menjadi lebih berjaya. Walaubagaimanapun, percayalah anda mampu untuk bergelar jutawan sekiranya keempat-empat elemen diatas diamalkan dengan baik. Teruskan berusaha kerana perniagaan merupakan satu perintis untuk seseorang itu menjadi jutawan. Meskipun bermula dengan kecil-kecilan, tetapi berkat ketekunan dan kesabaran pastinya akan membuahkan hasil yang membanggakan. Islam sendiri telah menegaskan bahawa perniagaan merupakan 9/10 daripada pintu rezeki. Fakta ini ternyata relevan apabila begitu ramai jutawan yang lahir didunia hari ini dengan bersandarkan kepada bisnes yang dijalankan. Mungkin perniagaan yang anda usahakan pada hari ini hanya mampu meraih pulangan dalam kadar yang kecil, tetapi siapa tahu sekiranya anda terus dan terus berusaha meningkatkan mutu perniagaan anda, tidak mustahil untuk anda turut berada dalam kelompok jutawan yang disegani pada satu hari nanti. Semoga berjaya!!

DATO' SERI TONY FERNANDEZ

SIAPAKAH DATO' SERI TONY FERNANDEZ?


Tony Fernandes yang kini berusia 51 tahun,  dilahirkan pada 30 April 1964 kepada suatu keluarga campuran Portugis  Goa(India) dan Portugis Melaka. Bapa beliau bernama  Dr. Stephen Edward Fernandes dan Ibu beliau, Ena Dorothy Fernandez.
Semasa kecil beliau kerap kali mengikuti ibunya, seorang peniaga kecil kecilan, ke majlis majlis para  peniaga tupperware. Dalam usia 13 tahun beliau  melanjutkan persekolahan di England  pada tahun 1977 dan seterusnya lulus di London School of Economics pada  tahun 1987.
Beliau mulai alam perkerjaan di Virgin Atlantic sebagai auditor, kemudian sebagai kontroller kewangan di sebuah syarikat dimilik oleh Richard Branson, iaitu Virgin Record sehingga 1989.
Sekembalinya  ke Malaysia beliau dilantik sebagai pengarah urusan Warner Music (Malaysia) Sdn Bhd.  Sewaktu bertugas di syarikat ini beliau berjaya mencetus suatu  ‘revolusi’ dalam muzik etnik, nasyid dan dangdut kedalam arus perdana muzik tanah air. Beliau berkhidmat dalam kumpulan ini dari 1992 sehingga 2001, akhir sekali memegang jawatan vice  presiden kumpulan  bagi kawasan Asia Tenggara.

Air Asia


Apa yang amat menarik tentang biografi Dato’ Tony ialah penglibatan beliau sebagai penggerak utama dalam penubuhan dan operasi  Air Asia,  syarikat penerbangan tambang murah yang paling berjaya di Asia. Bermula dengan dua buah kapal terbang Boeing 737  yang  usang tatkala masih dimiliki kerajaan, kini kumpulan  Air Asia yang diterajui Tony Fernandes sejak tahun 2001  telah maju dari setapak ke setapak sehingga kini memiliki 62 buah kapal terbang dalam perkhidmatan dan 277 buah lagi dalam pesanan. Setelah kesemua kapal terbang ini beroperasi nanti, ini mungkin menjadikan kumpulan penerbangan Air Asia sebagai kumpulan penerbangan tambang murah yang tebesar di dunia.
Kini kumpulan Air Asia berkhidmat melalui  142 laluan dan 78 destinasi  dengan sejumlah 400 penerbangan sehari  di Asia, dan juga ke Australia dan Eropah. Dalam tahun 2011,  Air Asia telah menerbangkan sejumlah 30 juta penumpang dari pelbagai negara.

Jatidiri Tony Fernandes

Kejayaan luar biasa  selalunya  di hasilkan oleh seseorang yang juga  mempunyai peribadi yang luar biasa yang membantu dalam  setiap langkah  yang dilalui. Pertama  sekali ialah wujudnya minat untuk berniaga yang perlu untuk mendorong seseorang kearah itu. Dalam diri Tony Fernandes,  beliau banyak dipengaruhi oleh ibu beliau yang aktif dalam menjual tupperware ke serata tanah air. Bagi  Tony, ibu beliau adalah seorang wanita yang mengkagumkan kerana kemampuannya  yang luar biasa dalam menjual barangan   kepada sesiapa sahaja. Justeru itu beliau banyak belajar dari peribadi ibu beliau yang ternyata begitu penting dikala mengharungi  alam perniagaan.
Bapa beliau, Dr Stephen Edward Fernandes, sebaliknya amat berbeza daripada peribadi ibunya. Dr. Fernandes  memiliki sebuah klinik, tetapi tanpa keuntungan kerana terlalu bermurah  hati kepada setiap pesakit sehingga kerap kali memberi perkhidmatan dan  ubat secara percuma. Tony  sungguh tidak terpikat dengan cara cara bapa beliau berniaga.
Pada sekilas pandang memang  ada ciri ciri yang serupa  diantara  Tony dengan ayah beliau. Jika ayah beliau memberi keistimewaan kepada pesakit yang miskin, Tony juga memberi fokus kepada rakyat yang kurang mampu untuk membeli tiket penerbangan biasa. Tetapi bezanya, jika ayah beliau membantu pesakit dengan tujuan mengurangkan bebanan mereka, sehingga mengorbankan keuntungan, Tonya juga membantu rakyat yang tidak mampu membeli tiket kapal terbang, tetapi beliau tetap  terikat dengan prinsip perniagaan berasas keuntungan  dan lestari ( berkekalan).
Kemampuan beliau berkomunikasi, mempengaruhi orang  dan semangat yang kental amat mengkagumkan dan merupakan satu ciri yang diwarisi dari ibu beliau.  Selain itu zaman persekolahan dalam usia yang sangat muda (umur 13 tahun) di sekolah berasrama di England, juga memberi kesan yang mendalam  kepada peribadi beliau. Di sana, berjauhan dari keluarga dan kampung halaman, membentuk nilai teras  dalam peribadi beliau, terutama kemampuan berkomunikasi dan berdikari dalam apa jua suasana.
Ibu beliau meninggal sewaktu Tony hanya berusia 15 tahun meninggal kesan yang mendalam kepada beliau. Ia meninggalkan kekosongan dalam hidup dan membantu dalam membentuk peribadi yang cekal dan  mampu berdikari di mana sahaja.
Jika di lihat dari segi kecenderungan usahawan mengambil risiko, Tony adalah contoh yang amat ekstrim. Beliau adalah seorang yang nampaknya hyperactivebegitu fokus dalam melaksanakan perkara yang beliau minati, sehingga sanggup menggadai apa sahaja yang beliau miliki walaupun masih jauh daripada mencukupi sebagai modal syarikat.  Mungkin ini bukan suatu perkara yang menghairankan, jika yang diminati  itu matlamat yang biasa, tetapi untuk memiliki sebuah syarikat penerbangan sudah tentu bukanlah sesuatu dalam jangkaan untuk seorang yang tidak  memiliki modal yang cukup dan hanya berbekalkan minat dan semangat yang kental.
Sungguhpun demikian adalah kurang tepat menyatakan yang Tony bersikapreckless dalam membuat sesuatu pertimbangan kerana beliau tetap mementingkan soal keuntungan. Malah beliau  amat yakin  kepada soal potensi pertumbuhan yang tinggi dalam industri penerbangan di Asia sebelum menceburi sektor tersebut.
Bagi menentukan kejayaan,   sikap beliau yang fokus  kepada sesuatu projek adalah suatu ciri yang tepat dan dapat membantu mengurangkan risiko.  Beliau berkata, ” Saya bukanlah seseorang yang suka memulakan dua puluh benda dan  kemudian berharap tiga akan berjaya. Saya lebih berminat memulakan dua atau tiga dan tentukan ia berjaya, kemudian laksanakan usaha usaha seterusnya”. Sikap ini biasa kita nampak ada pada usahawan terkemuka seperti Tan Sri Syed Mokhtar, Mydin, Tan Sri Azman Hashim,  Tan Sri Teh Hong Piow  di tanah air kita dan usahawan usahawan seperti pengasas Microsoft,  Apple, Facebook, Ford Motor Company, Honda Motors dan banyak lagi di arena global.

Cara cara Tony menempuhi Halangan

Kemampuan berkomunikasi timbul daripada personaliti yang yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi yang di asah semasa belajar dan berkhidmat di England dan di Kuala Lumpur. Selain itu beliau juga menunjukkan sikap minima  ego dan bersedia forgive and forget yang membolehkan beliau membuat pertimbang yang terbaik untuk syarikat dalam sesuatu waktu.  Misalnya dalam berurusan dengan Kerajaan Singapura untuk mendapat kebenaran mendarat di sana beliau telah berhadapan dengan rintangan demi rintangan  yang berlarutan, yang biasanya melunturkan semangat orang biasa. Walaupun demikian beliau masih  boleh lagi berinteraksi dengan pegawai pegawai kerajaan Singapura dengan baik, sambil  menganggap detik detik pahit yang dilalui  hanya sebagai cabaran dalam mengembangkan laluan Air Asia. Kini Air Asia mengadakan 26 penerbangan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Singapura sehari.
Sebelum itu, cabaran yang pertama beliau lalui timbul dari sikap masyarakat perniagaan Malaysia sendiri yang  bersikap sinikal terhadap rancangan beliau menubuhkan syarikat penerbangan. Perkara ini tidak melunturkan semangat beliau, malah dengan pantas, melalui Dato’ Pahamin Rajab, belia berjaya meyakinkan Tun Mahathir, Perdana Menteri ketika itu, untuk meluluskan rancangan beliau, mulai dengan cara mengambil alih syarikat penerbangan  Air Asia, sebuah syarikat yang nyata gagal dan dimiliki oleh kerajaan.
Setelah mulai berjaya dengan syarikat Air Asia, beliau mengalih fokus untuk menjadikan Lapangan Terbang Subang sebagai hub penerbangan tambang murah di rantau Asean. Beliau tahu ini satu perkara yang amat sukar diterima kerajaan kerana negara perlu mengukuhkan kedudukan KLIA yang baharu sahaja siap diketika itu. Tetapi Tony never takes no for an answer. Beliau menggunakan media massa untuk mempengaruhi masyarakat dan kerajaan. Akhirnya kerajaan bertegas menolak cadangan Air Asia demi kepentingan negara, tetapi dalam proses ini Tony berjaya mendapat laluan laluan udara yang baru serta mendapat LCCT yang baru di KLIA dengan kadar tariff yang berdiskaun. Ini  membantu Air Asia mengukuhkan daya saing  ketika berhadapan dengan Malaysia  Airlines dan syarikat syarikat penerbangan yang lain.
Demikian juga Tony menempuhi beberapa cabaran dalam usaha mendapat hak mendarat di lapangan terbangan Bangkok, Jakarta, Hong Kong dan banyak lagi  sama ada di Asia ataupun  atau benua benua lain. Namun nampaknya pengalaman di Singapuralah yang paling mencabar.
Mengikut buku The Air Asia Story ditulis oleh Sen Ze dan Jayne Ng, bagi Tony, kualiti seorang Usahawan yang paling penting ialah kecekalan atau dalam Bahasa Inggerisnya willing to never take no for an answer. Bagi Tony, “Berpeganglah dengan keyakinan anda. Jika anda terlalu mendengar kata orang lain, anda tidak mungkin dapat memulakan sesuatu. Sebab itulah  mereka  tidak menjadi usahawan. Orang yang memberi nasihat itu bukanlah usahawan. Jika tidak, sudah tentu mereka melaksanakan sendiri. Kita hanya perlu yakin dan laksanakannya”
Akhir sekali, anda  jangan lupa peranan pendidikan dalam membantu Tony dalam menjayakan kerjayanya. Beliau adalah seorang Fellow Member of Association of Chartered and Certified Accountants (ACCA) dan berkelulusan dari London School of Economics

WAN KHADIJAH OTHMAN-USAHAWAN ROTI


Wan Khadijah Othman menunjukkan aneka roti dan kek keluaran syarikatnya.


TIDAK pernah terlintas di fikirannya untuk terlibat dalam dunia perniagaan. Tambahan pula, di kalangan ahli keluarga tiada seorang pun memilih menceburi bidang itu.Namun, bagi Wan Khadijah Othman, 39, penglibatan dalam perusahaan membuat roti berlaku secara kebetulan.Segalanya bermula ketika dia menemani seorang rakan mendaftar kursus perniagaan anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kuala Lumpur beberapa tahun dahulu.


''Waktu itu, salah seorang pegawai Mara yang bertugas meminta saya turut menyertai kursus berkenaan.Tanpa berfikir panjang, saya terus bersetuju.Kursus jangka panjang yang dikenali sebagai Latihan Pembentukan Usahawan Mara itu dijalankan selama enam bulan.

''Sejak menyertainya, saya mula membuka mata dan memahami apakah yang dimaksudkan dengan perniagaan,'' katanya yang pernah bertugas di salah sebuah bank sebelum terlibat secara serius dalam dunia perniagaan.Setelah tamat kursus, Wan Khadijah cuba mencari peluang-peluang perniagaan yang sesuai untuk diceburi.Tahun 2002 menyaksikan dia mula membuat penyelidikan tentang potensi dan kelebihan berniaga roti.

''Saya memilih perusahaan roti kerana tidak ramai pengusaha bumiputera terutama orang Melayu terlibat dalam perniagaan ini.Saya memang tiada ilmu langsung mengenainya. Jadi, sebelum memulakan perniagaan ini, saya banyak membuat kajian mengenai peluang pasaran selain mengambil tahu apa yang pelanggan mahu.Melalui pinjaman modal daripada Mara bernilai RM40,000, saya memulakan perniagaan membuat roti secara kecil-kecilan di rumah,'' jelasnya ketika ditemui di kilangnya di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.


Bukan setakat itu, dia turut mengambil bekalan roti sejuk beku daripada beberapa syarikat lain sebelum membakar dan menjualnya semula.Bagi melancarkan urusan perniagaannya, dia menyewa sebuah kedai kecil di Kota Damansara dengan kos RM600 sebulan.

''Untuk tempoh lapan bulan pertama, saya terpaksa menanggung kerugian kerana ketika itu saya belum begitu mahir dengan operasi pengiraan kos selain tidak memahami saiz pasaran dan kehendak pengguna.Selepas lebih kurang setahun, perjalanan perniagaan semakin stabil dan saya mengambil keputusan untuk menyewa sebuah kilang kecil di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.Rezeki saya bertambah murah apabila mendapat tender membekalkan roti kepada Kelab Diraja Selangor di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan kafe di Universiti Malaya (UM),'' jelas ibu kepada dua orang anak itu.


Usaha Wan Khadijah tidak terhenti setakat itu, dia turut memasarkan produk roti buatannya di pasar malam berhampiran dengan pendapatan antara RM250 hingga RM350 sehari.''Pengalaman berniaga di pasar malam banyak mengajar saya tentang ilmu perniagaan daripada segi kekuatan semangat dan keazaman,'' katanya.


Dia kemudian mendaftarkan perniagaannya di bawah syarikat Lovely Cake Enterprise pada 2002 sebelum ditukar kepada Tanjung Cindai Sdn. Bhd. setahun kemudian.Kesemua produk kek dan rotinya pula dikeluarkan menerusi penjenamaan Wan Bakers.Walaupun perniagaanya telah stabil ketika itu, dia yang berperanan sebagai Pengarah Urusan masih terus mempelajari teknik pemasaran dan promosi syarikat.Dalam usaha memperluaskan perniagaannya pula, dia telah menjual kesemua mesin pembuat roti bersaiz kecil yang terdapat di kilangnya.Tujuannya untuk menampung deposit pembelian bangunan kilang lebih besar dan dijadikan modal membeli mesin lebih canggih.


Menurut Wan Khadijah lagi, kilangnya kini mempunyai lebih 15 mesin sokongan operasi pembuatan pelbagai jenis roti.Beberapa tahun selepas itu, dia telah membuat pinjaman modal sebanyak dua kali daripada pihak Agrobank dengan nilai RM20,000 setiap satu.Dana yang diperoleh menerusi skim Pinjaman Mikro Modal Usahawan Tani (MUST), Agrobank digunakan untuk memperbesarkan operasi kilangnya.


''Selain kilang di Industri Jaya Sungai Buloh ini, kita turut mempunyai sebuah lagi kilang membuat roti di Batu Caves, Selangor,'' katanya yang mempunyai 23 orang kakitangan.

DATO WAN MOHAMAD SANI SALLEH


Mungkin ramai yang tidak mengenali Dato Wan Mohamad Sani Salleh. Tetapi jika disebut tentang bekas model pelakon dan anggota kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusoff pada lewat 90an? Ha, sudah tentu ramai yang katakan, “Oh dia ke?!”


Jejaka berusia 34 tahun berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan Universiti Kolej Sunway ini merupakan antara usahawan merangkap artis yang paling berjaya dalam bidang perniagaan. Dianugerahkan Darjah Dato Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Ahmad Shah yang membawa gelaran dato pada 2009, beliau kini adalah pengarah urusan SANI United Sdn Bhd (SUSB). Sebelum ini Dato Sani Memulakan perniagaan dengan membuka bengkel membaiki kenderaan. Pada tahun 2003 Dato Salleh menubuhkan SUSB dengan 2 lagi rakan kongsi yang menarik diri tak lama kemudian yang menyebabkan Dato Sani terpaksa mengambil risiko dengan seorang pekerja dan hanya pada 2006 barulah menyaksikan SANI Express berada di jalanraya dengan 6 buah bas. Kini setelah 7 tahun berlalu SUSB memiliki lebih 150 pekerja dan mempunyai bangunan 3 tingkat sendiri Wisma Dato’ Sani yang terletak di Klang Sentral.


Bercerita tentang khidmat yang disediakan, 25 buah bas 2 tingkat telah beroperasi yang di lengkapi teknologi keselamatan dari Sweden bernilai 40 juta yang dapat mengesan ketidakfungsian teknikal lebih awal. Kaunter tiket juga diliputi CCTV yang disambungkan dengan ibupejabat bagi melancarkan operasi. Ibu pajabat di Klang sentral juga memiliki pusat latihannya sendiri. Bagaimanapun SUSB tak lari dari krisis apabila kemalangan maut melibatkan bas syarikatnya yang menyebabkan kes ini disiasat oleh LPKP.


Figura ini sebenarnya merupakan seorang yang sangat bercita-cita sendiri dan ketika beliau mencapai satu tahap dimana beliau mula befikir bagaimanakah hidupnya jika terus berada di bidang seni dan hiburan yang benar-benar bergantung kepada bakat dan peminat. Oleh yang demikian, beliau telah mengubah arah tuju hidupnya dengan memulakan perniagaan perkhidmatan bas ekspres.


Destinasi ke Pantai Timur sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.


Biasalah, dulu masa jadi artis memang saya main-main. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu. Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” adalah kata-kata figura hebat yang dipetik dari artikel hasil temuramah wartawan hiburan di Wisma Dato Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.


Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau. Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan. Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.


Dalam artikel yang sama, dapat diteka yang artis ini sangatlah down to earth! Katanya, “saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik”. Dan disebabkan Dato Sani ini masih bujang (peluang hebat untuk artis-artis wanita di luar sana), beliau mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.


SANI Express mensasarkan untuk memiliki 100 bas dan meneroka semua laluan di negara ini dalam tempoh tiga tahun lagi. Menurut beliau, sebanyak RM100 juta akan dilabur untuk tujuan itu dan beliau mensasar untuk memiliki 500 kakitangan dalam tempoh berkenaan. Selain itu, beliau juga melibatkan diri dalam perniagaan perhotelan dan hartanah.


SEJARAH RINGKAS TENTANG TAN SRI SYED AL BUKHARY

TAN SRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARI

Latar Belakang dan kejayaan 

Seronok berkongsi kisah orang berjaya sebagai motivasi diri. Terutama kepada orang yang tidak lupa diri walau pun sudah kaya raya dan berkongsi rezeki dengan orang yang memerlukan. Part yang paling menarik ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary ialah belian masih menggunakan kereta Proton Perdana. Sedangkan kita gaji naik lebih sikit jer, kereta lama meragam sibuk nak beli kereta baru import sedangkan cukup bulan gaji ngam-ngam bayar hutang.
Dan untuk lebih bergaya lagi kita menggunakan kad kredit supaya berbelanja lebih dari kemampuan gaji bulanan kita.


TAN SRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARY


LATAR BELAKANG
Umur : 53 tahun
Pendidikan : SPM
Mula berniaga : 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
Kekayaan : RM1,425 juta
Ranking : Ke 7 terkaya di Malaysia Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)


Antara syarikat miliknya :
MMC,
Pelabuhan Tg. Pelepas,
BERNAS,
Gardenia,
DRB-HICOM dan
Bank Muammalat


Kereta : Proton Perdana
Sumbangan sosial:
Yayasan Al-Bukhary,
Institusi pengajian untuk 3,000 pelajar,
Muzium Kesenian Islam,
Kompleks Al-Bukhary,
Menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu,
Pengindahan Masjid Negara,
Sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan
Menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan
haji.
Masjid di Lapangan Terbang Senai,Johor




Bagaimana sumbangan sosialnya bermula.
Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun (RM750.00) pertamanya
sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi
(RM750.00) ibunya simpan.


Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau
untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah
pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.





Mutiara kata…..
1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan
2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.
3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.
4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.
5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.
6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.
8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.
9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.
10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana,hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?
11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.
12. Ketika Allah memberika kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain.
Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.
13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan.
Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.
15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa!
16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.
17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.
18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.
19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.
20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri.
Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.
 
Free Flash TemplatesRiad In FezFree joomla templatesAgence Web MarocMusic Videos OnlineFree Website templateswww.seodesign.usFree Wordpress Themeswww.freethemes4all.comFree Blog TemplatesLast NewsFree CMS TemplatesFree CSS TemplatesSoccer Videos OnlineFree Wordpress ThemesFree CSS Templates Dreamweaver